DAKWAAN kononnya pelawak Johan (Raja Lawak) meminta bayaran setiap kali dia mahu ditemu bual oleh pihak media adalah cerita mengarut. Cerita itu sengaja diadakan bagi memburukkan reputasi kerjayanya yang sememangnya dijaga baik sejak berkecimpung dalam industri hiburan.
Mohd Yazid Lim Mohammad Aziz atau Johan memang dikenali dengan sifatnya yang begitu ramah dan bersahaja. Dia mengakui, kadangkala setiap tutur kata dari mulutnya itu sering kali di salahertikan pelbagai pihak.
Tidak mudah melatah dengan cerita buruk yang dihadapkan kepadanya, dengan nada spontan, Johan berkata ?Itu semua mengarut, jangan percaya!"
Menurut Johan, adalah sesuatu yang tidak masuk dek akal untuk dia meminta sesuatu yang diluar kemampuannya.
?Takkanlah saya mahu ditemu bual pun perlu minta bayaran? Saya ini bukannya sesiapa dan tidak setanding dengan artis antarabangsa. Lainlah kalau saya ni macam Russell Peter ke, mungkinlah kena bayar.
?Saya ini biasa sahaja dan tidak sampai ke tahap itu. Apa yang boleh saya simpulkan, orang macam saya ini mungkin kadangkala selalu disalah anggap sebab saya suka jawab secara lawak spontan setiap kali wartawan tanya soalan kepada saya.
?Kadang-kadang setiap kali jawapan yang saya bagi pada wartawan untuk jawab pertanyaan mereka, banyak bergantung pada persekitaran dan tempat. Sebab saya seorang yang kelakar dan tidak mahu sesi temu bual itu nampak terlalu serius sahaja. Apa pun saya memang tidak minta bayaran langsung seperti yang didakwa," katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Ribbit di TGV One Utama, baru-baru ini.
Mengulas pembabitannya dalam filem terbitan pertama Kartun Studios Sdn. Bhd. yang juga merupakan anak syarikat ke-11 yang diterajui Kumpulan Syarikat KRU, Johan turut berkongsi perasaan terujanya. Saat dia mendapat peluang untuk bekerjasama bagi menghidupkan watak seekor katak yang bernama Ribbit, ini sekali gus meletakkannya sebagai teraju utama dalam filem terbabit.
?Sepanjang jadi anak seni, Ribbit inilah merupakan filem animasi pertama saya. Sudah tentulah sangat berbesar hati dapat terlibat dengan filem ini yang sudah pun meletakkan kejayaan hingga ke peringkat antarabangsa.
?Saya akui ini merupakan pengalaman pertama dan seronok. Sememangnya ia tidaklah begitu mudah seperti yang kita tonton di kaca televisyen, banyak cabaran yang saya hadapi cukup menyeronokkan sepanjang proses memasukkan suara itu. ?Saya kena banyak kaji dan bergantung kepada perbuatan serta situasi kartun itu tersebut, namun akhirnya saya berjaya membawakan watak tersebut dan tiada masalah yang timbul. Saya akan lakukan setiap kerja yang dipertanggungjawabkan sehingga selesai dan saya memang berikan hingga 110 peratus komitmen setiap pekerjaan yang saya lakukan," katanya.
Meskipun ini pertama kali dirinya terlibat dalam animasi dengan hanya menyumbangkan suara, Johan amat berterimakasih kepada pengarah yang banyak membantunya ketika sesi rakaman.
?Pengarah Mamat Khalid tidak galakkan saya meniru mana-mana watak kartun animasi yang sedia ada. Dia hendak saya menjiwai watak tersebut dengan cara sendiri tanpa dibayangi dengan watak kartun yang lain, jadi saya tidak membuat sebarang rujukan sebelum buat watak Ribbit.
?Selain itu, pengarah turut beri sedikit kelonggaran jika saya ada idea untuk dikongsikan dalam skrip sendiri bagi mewarnai lagi watak tersebut," jelas Johan panjang lebar tentang pembabitan sulungnya dalam filem animasi.
Menyentuh tentang tawaran yang diberikan kepada dirinya, Johan mengakui ada beberapa tawaran oleh KRU Studios terpaksa ditolak sebelum ini. Ini kerana dia tidak mampu memberikan komitmen memandangkan dirinya waktu itu baru sahaja menandatangani kontrak dengan Era FM.
Malah, dia juga mengambil masa untuk menerima tawaran terlibat dalam Ribbit atas alasan tersendiri.
?Pada peringkat awal, saya tidak terus terima kerana saya masa itu baru sahaja mulakan kerjaya sebagai penyampai radio di Era FM. Saya mahu tumpukan kepada kerja baharu dan risau jika waktu rehat terganggu. Maklum sajalah, bila kita bercakap pasal filem, sudah semestinya perlu ambil masa yang terlalu lama dan panjang.
?Tapi ternyata ia tidaklah mengambil masa yang lama sangat seperti yang saya anggap. Hanya dalam dua atau tiga hari sahaja, peranan saya dalam Ribbit sudah selesai," tutur Johan dengan nada teruja
Filem yang turut meminjam suara Elfira Loy, Izzue Islam dan Jehan Muse ini akan ditayangkan di seluruh pawagam tempatan bermula 4 September depan. Filem Ribbit versi bahasa Malaysia ini adalah dalam format 2D dan 3D.
0 comments:
Post a Comment