Tiga pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Asajaya, di sini, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan mendatangkan kecederaan ke atas seorang rakan sekolah, April lalu.
Seorang daripada mereka juga menghadapi tuduhan berasingan melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa sama.
Semua tertuduh berusia 16 tahun, masing-masing dari Kampung Sungai Mata, Kampung Tambey dan Kampung Melayu, membuat pengakuan itu di depan Majistret Zulhairil Sulaiman.
Zulhairil menetapkan 11 Julai ini untuk menjatuhkan hukuman selepas meneliti laporan akhlak ketiga-tiga tertuduh.
Ketiga-tiga mereka mengaku salah mendatangkan kecederaan kepada mangsa berusia 15 tahun dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, manakala seorang lagi turut mengaku salah mengugut mangsa mengikut Seksyen 506 kanun sama.
Tiga pelajar itu hadir di mahkamah ditemani ibu bapa masing-masing dan dibenarkan ikat jamin RM5,000 seorang serta dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran setiap minggu sementara menunggu hukuman.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, pada jam 9.40 pagi 25 April lalu, ketika mangsa berada dalam Kelas 3G di sekolah itu, dia dipanggil seorang pelajar perempuan tingkatan empat yang mengarahkannya ke tingkat tiga di tepi bilik makmal sekolah.
Apabila sampai di tingkat tiga, dia mendapati beberapa pelajar perempuan lain sedang menunggunya sebelum seorang daripada mereka bertanya mengapa menipu mereka.
Sebelum sempat dijawab, mangsa terus dibelasah, dipukul dan disepak selain salah seorang tertuduh mengugutnya supaya tidak memberitahu kejadian itu kepada sesiapa.
Bagaimanapun, perbuatan berkenaan dirakam dan kemudian video yang tidak disertakan tarikh rakaman, tersebar di laman sosial Facebook (FB) dan Youtube.
0 comments:
Post a Comment