Monday, 9 February 2015


DIA masih boleh tersenyum dan bersabar walaupun pada awal April lalu tersebar gosip yang mendakwa Annahita Bakavoli, 32, telah berpisah dengan suami, Datuk Saiful Bahar Datuk Mohd Arshad, 48 tahun.

Menurut Annahita, dia hanya mengetahui berita tersebut selepas diberitahu oleh seorang teman dan ketika di tempat kerja, rakan-rakan setugas juga bertanya perkara yang sama.


?Memang saya terkejut apabila ada gosip yang dikeluarkan oleh wartawan mendakwa saya sudah tidak bersama suami lagi. Sedangkan kami masih lagi bergelar suami isteri sejak mendirikan rumah tangga pada Julai 2010.

?Saya tidaklah mudah melatah walaupun ada pihak yang meminta saya mengambil tindakan terhadap penulis tersebut. Apa yang saya kesal adalah kesan daripada berita itu, ramai yang bertanya hingga ke hari ini. Sepatutnya wartawan itu telefon saya untuk dapatkan kesahihan tentang berita tersebut. Perkara yang berkaitan dengan kematian, perceraian dan pernikahan tidak boleh dibuat main-main," katanya ketika ditemui di Hotel Concorde, Shah Alam, baru-baru ini.

Pada pertemuan itu juga Annahita yang kini lebih aktif sebagai wartawan penyiaran dan penerbit di syarikat Media Prima Sdn. Berhad, menjelaskan status sebenar tentang dirinya.

?Saya masih lagi isteri orang dan antara saya dan suami tidak ada masalah seperti yang didakwa. Alhamdulillah, suami yang mengenali saya sebagai artis sebelum ini faham dengan cerita-cerita sebegitu dan dia pun tidak ambil kisah.

?Masalahnya sekarang, kesan daripada cerita itu orang asyik bertanya adakah saya sudah bercerai? Saya tahu berita yang ditulis itu pun macam pertanyaan sahaja tetapi persepsi orang berbeza. Ada yang baca sepintas lalu dan ada pula yang ingin mendapatkan kepastian daripada saya," jelasnya yang sampai sekarang terpaksa berhadapan dengan soalan tentang status dirinya.

Tambah Annahita, mungkin ramai yang menganggap berita itu benar kerana dia dan suami jarang bergambar atau menghadiri majlis bersama seperti pasangan selebriti lain.

?Suami saya bukan artis dan dia memang tidak berminat dengan dunia glamor ini kerana dia lebih ke arah korporat. Sekarang ini dia lagi sibuk sejak menguruskan perniagaan sendiri.

?Jadi pada sesiapa yang ingat kami sudah bercerai, harap hapuslah tanggapan itu daripada minda anda. Sampai sekarang kami bahagia sebagai suami isteri walaupun belum diserikan dengan kehadiran cahaya mata," katanya.

Dalam pada itu bercerita tentang cahaya mata, Annahita yang pernah popular dengan watak Khaty dalam sitkom Spanar Jaya berkata, pada awal perkahwinan memang dia merancang untuk tidak mempunyai anak dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun kini segalanya berubah dan dia serta suami bersedia untuk menimang cahaya mata.

?Awal-awal kahwin dulu saya tidak yakin untuk mempunyai anak sebab takut tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu dengan baik. Orang selalu ingat bila kahwin mesti dapat anak sebagai penghibur rumah tangga.

?Saya pula berpendapat perkahwinan bukan setakat penyatuan dua hati dan kehadiran anak tetapi bagaimana caranya untuk saya menguruskan semua itu. Lagipun waktu itu saya sibuk dengan kerjaya dan sekarang Alhamdulillah, saya sudah boleh atur pekerjaan dan memang bersedia untuk menjadi ibu. Semua itu terserah pada Allah SWT," katanya terus terang.

Sejak akhir-akhirnya ini nama Annahita jarang kedengaran sebagai artis kerana dia lebih banyak melakukan kerja-kerja di belakang tabir.

Namun dia tidak kisah kerana segala kerja-kerja belakang tabir yang dilakukan adalah kerja yang diminatinya dan Annahita menyimpan impian untuk menjadi hos program bual bicara tentang dunia wanita.

?Saya bukan setakat melakukan kerja-kerja suntingan atau menulis skrip, ada waktu tertentu saya juga akan turun padang mencari berita. Setakat ini saya tidak pernah jemu dengan kerja-kerja yang saya buat.

?Cuma bila terikat dengan tugasan, masa saya untuk meneruskan aktiviti dalam bidang lakonan agak terbatas. Kalau ada kesempatan memang saya ingin kerana berlakon adalah minat saya," jelasnya.

Bagaimanapun baru-baru ini Annahita sempat meluangkan masa menjadi juri untuk pertandingan Mrs Malaysia Universe 2014 bersama Datuk Shake, Amber Chia dan model Wilson Tan.

?Saya pun tidak sangka dipilih menjadi juri untuk pertandingan itu dan ia merupakan satu pengalaman yang manis sebab kami memilih calon untuk mewakili negara untuk pertandingan akhir Mrs World 2014.

?Sebenarnya kalau ada masa, saya tidak akan menolak apa sahaja aktiviti berkaitan seni kerana seni itu sudah menjadi sebahagian daripada jiwa saya," katanya.

0 comments:

Post a Comment

BLOG ANDA DISINI SANGAT SYOK

..