Friday 19 September 2014

KHAIRIL ANWAR MOHD AM IN
17 Mac 2014



22 rumah rosak dilanda ribut
Sham (kanan) meninjau keadaan bumbung rumah seorang mangsa ribut di Parit Haji Amin yang diterbangkan ribut.

BAGAN SERAI - Kediaman penduduk di lima kampung di kawasan Dun Selinsing, di sini rosak teruk selepas dilanda ribut kencang petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6.10 petang itu menyebabkan 22 rumah di Kampung Parit Gabis, Kampung Teluk Peribu 1, Kampung Teluk Peribu 2, Kampung Parit 7 dan Kampung Parit Haji Amin rosak teruk dengan hampir keseluruhan bumbung diterbangkan angin.

Rumah di Kampung Parit Gabis dan Kampung Parit 7 paling banyak terjejas apabila enam rumah didapati rosak dan jumlah keseluruhan kerugian dialami penduduk dianggarkan mencecah RM70,000.

Ribut kencang itu turut menjejaskan beberapa bangunan utama Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Ridhwan, Telok Medan apabila bumbung empat bilik utama asrama, pondok pengawal keselamatan, pejabat, surau, koperasi dan parkir guru sebahagian besarnya mengalami kerosakan.

Seorang guru yang enggan dikenali berkata, pada kira-kira jam 6 petang, hujan lebat dan ribut kencang menyebabkan  bumbung asrama, surau dan tempat parkir guru diterbangkan angin dalam sekelip mata.

Menurutnya, sewaktu kejadian, seramai 60 penghuni yang berada di dalam bilik asrama diarahkan berkumpul di surau apabila kemudahan itu dipenuhi air hujan selepas kehilangan bumbung.

�Ribut berlaku selama 15 minit dan turut menyebabkan pondok pengawal keselamatan asrama yang menggunakan kontena terbalik di atas jalan, selain menerbangkan bumbung parkir kenderaan sejauh 100 meter.

�Bekalan elektrik terputus selama 11 jam sebelum dipulihkan kembali oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada jam 5 pagi ini (semalam),� katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Adun Selinsing, Husin Din semalam.

Pelajar diarah pulang

Guru berkenaan berkata, disebabkan struktur bumbung empat bilik asrama sekolah itu terjejas, kesemua pelajar asrama diarahkan pulang dan diminta berulang-alik ke sekolah dari rumah masing-masing sehingga satu tempoh ditetapkan.

Menurutnya, arahan itu terpaksa dikeluarkan bagi menjamin keselamatan pelajar yang menghuni asrama berikutan terdapat sebahagian atap rosak masih berada di atas bumbung asrama.

�Pengurusan sekolah bimbang sesuatu tidak diingini berlaku sekiranya struktur bumbung asrama pelajar yang rosak tidak dibaik pulih segera.

�Perkara ini sudah dimaklumkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Bahagian Pendidikan Islam (BPI) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang turut hadir meninjau kerosakan di sekolah pada pagi ini (semalam),� katanya.

Seorang penduduk, Rashid, 45, dari Kampung Parit Gabis berkata, ketika kejadian dia berehat di bahagian ruang tamu bersama keluarga.

�Apa yang berlaku sangat menggerunkan kerana dalam sekelip mata ribut kencang menerbangkan bumbung menyebabkan semua barang dalam rumah rosak.

�Saya dan ahli keluarga lain sempat keluar selamatkan diri kerana semua siling jatuh bertaburan,� katanya.



Salur bantuan segera

Sementara itu, Husin berkata, pihaknya simpati dengan semua mangsa ribut dan melawat rumah mereka bagi meninjau sendiri tahap kerosakan.

Menurutnya, pihaknya turut dimaklumkan kejadian itu sudah dirujuk kepada penghulu mukim dan pihak berkuasa tempatan.

�Pada masa sama, saya bersama Pas kawasan Bagan Serai telah meneliti setiap rumah dilanda bencana untuk diserahkan nama mereka kepada pihak berkenaan. Saya berharap bantuan segera dapat disalurkan oleh agensi kerajaan terlibat,� katanya.

Kejadian ribut itu turut mendapat perhatian segera Umno bahagian Bagan Serai dan beberapa agensi kerajaan diketuai Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian.

Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, sejurus kejadian bencana, pihaknya bersama wakil beberapa agensi kerajaan turun padang meninjau dan mengenal pasti jumlah keseluruhan rumah mangsa terlibat.

Menurutnya, pihaknya mendapati hampir sebahagian rumah mengalami masalah bumbung diterbangkan ribut, manakala lima rumah rosak teruk dan tidak selamat diduduki.

�Kesemua mangsa ribut diberi bantuan wang tunai RM200 daripada Umno Bahagian Bagan Serai bagi meringankan beban mereka.

�Selain itu, kesemua mangsa terlibat bakal terima bantuan wang tunai daripada Tabung Bantuan Bencana Daerah Kerian mengikut kerosakan rumah masing-masing,� katanya.

Sham berkata, pihaknya sudah memaklumkan insiden itu kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir khususnya mengenai keadaan lima rumah mangsa ribut yang kerosakan bumbung dan pendawaian elektrik terjejas.

�Datuk Seri Zambry sendiri setuju salur peruntukan tambahan bagi membiayai kos baik pulih bumbung dan sistem pendawaian elektrik lima rumah mangsa yang rosak teruk.

�Umno bahagian berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas sumbangan diberi dan berharap inisiatif ini akan meningkatkan usaha kami dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,� katanya.

Sumber

0 comments:

Post a Comment

BLOG ANDA DISINI SANGAT SYOK

..